PH ancam batal MoU dengan PM

0
382

PEMIMPIN utama Pakatan Harapan (PH) sekali lagi mengancam untuk mengabaikan persefahaman (MoU) yang dipersetujui dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, susulan beberapa laporan yang mengatakan pihak pendakwaan akan membatalkan rayuan bagi pengguguran kes rasuah RM2 juta Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Memetik laporan MalaysiaNow, mereka turut mempersoalkan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, mengatakan keputusan tersebut akan mencemarkan kebebasan dan kredibiliti beliau.

“Majlis presiden juga akan meneliti kemungkinan tindakan peguam negara ini melanggar Perjanjian Memorandum Persefahaman di antara Pakatan Harapan dan Kerajaan, khususnya perkara empat berhubung kebebasan institusi kehakiman,” kata sebuah kenyataan yang ditandatangani pemimpin utama parti-parti komponen Pakatan Harapan.

Minggu lalu, pihak pendakwaan dilaporkan menarik balik rayuan yang difailkan beberapa hari selepas bekas setiausaha agung Umno itu dibebaskan Mahkamah Rayuan pada Julai, mengubah keputusan sabitan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada Disember 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan mendapati Tengku Adnan bersalah bagi pertuduhan rasuah kerana menerima sejumlah RM2 juta daripada pengarah urusan Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong sekali gus memberikan penghakiman hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap bekas menteri itu.

Adnan, atau Ku Nan, didakwa menerima RM2 juta daripada pengarah urusan syarikat, namun mahkamah rayuan memutuskan jumlah itu adalah derma kepada Umno bagi perbelanjaan Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016.

PH dalam kenyataannya menyatakan rasa terkejut terhadap tindakan untuk tidak meneruskan rayuan bagi pengguguran kes Ku Nan selain sekali lagi menggesa Idris meletakkan jawatan.

“Tindakan membatalkan rayuan ini mewujudkan persepsi yang sangat buruk dan menghakis kepercayaan umum terhadap institusi peguam negara malah mencemarkan kredibilitinya dan kebebasannya untuk menjalankan tugas rasminya secara profesional,” tambahnya sambil merujuk satu klausa MoU antara PH dan Ismail berhubung kebebasan badan kehakiman.

Pada September, Ismail dan pemimpin PH menandatangani MoU mengenai “Transformasi dan Kestabilan Politik”, sebelum selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin.

Ismail berkata kerajaan diketuai Umno bersedia untuk melaksanakan beberapa langkah pembaharuan bagi mengukuhkan peranan Parlimen yang mirip dengan apa yang dicadangkan Muhyiddin Yassin sewaktu pentadbiran beliau berada di ambang kejatuhan namun ditolak oleh PH. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here