[VIDEO] Lelaki ditahan, seorang lagi diburu terbabit jenayah samun

0
347

SEORANG lelaki ditahan polis selepas terbabit dalam jenayah samun di Kampung Ana, Tumpat, Kelantan.

Dalam kejadian jam 3 petang pada Sabtu, lelaki dengan 17 rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah itu menahan wanita yang menunggang motosikal ketika melalui sebuah lorong di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, wanita yang berusia 43 tahun itu secara tiba-tiba didatangi dua lelaki yang tidak dikenali dari arah belakang dan bertindak menghalang laluan motosikal mangsa.

“Suspek yang membonceng motosikal rakannya itu menghampiri mangsa dan mengeluarkan sebilah pisau sambil mengacu kepada wanita berkenaan.

“Suspek kemudiannya menarik seutas gelang tangan emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama rakannya itu.

“Anggaran kerugian yang dialami mangsa kira-kira RM7,000 dan wanita itu tampil membuat laporan di Balai Polis Chabang Empat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ab. Rashid berkata, kejadian samun itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada sebuah rumah di sekitar lokasi kejadian dan tular di media sosial Facebook.

Susulan itu, pihaknya menahan suspek berusia 32 tahun di Wakaf Bharu, pagi semalam.

“Hasil semakan, suspek memiliki 17 rekod jenayah lampau yang membabitkan kes jenayah serta dadah dan ujian saringan yang dijalankan mendapati lelaki itu positif dadah jenis Amphetamine.

“Suspek ditahan reman enam hari bermula semalam sehingga 26 November ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK).

“Kami juga masih mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dan dipercayai turut terbabit dalam kes ini,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here