Sub kontraktor maut kereta langgar pokok, lemas dalam parit

0
437

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG sub kontraktor dipercayai mabuk maut selepas kereta dipandu terbabas dan melanggar pokok di Persiaran Gelang Patah, Iskandar Puteri, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun disyaki terjatuh dalam parit berhampiran sebelum dibawa arus deras.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa dipercayai lemas selepas dibawa arus hingga ke muara Sungai Ulu Pulai.

“Mangsa ditemukan tersangkut di sungai tersebut. Siasatan mendapati keretanya yang dalam keadaan remuk ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan pintu terbuka manakala sebelum mangsa disyaki terjatuh ke dalam parit utama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai seorang sub kontraktor itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian.

“Siasatan dengan dua rakan mangsa mengatakan mereka minum bersama-sama di Gelang Patah pada 30 Oktober 2021 sebelum balik menaiki kereta berasingan.

“Berdasarkan maklumat diberikan rakan, mangsa dalam keadaan mabuk selepas minum bersama-sama,” ujarnya sambil memaklumkan mayat mangsa dicamkan rakan mereka.

Dzulkhairi turut memberitahu, mayat mangsa di bawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here