Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRN Melaka: Rintis jalan baharu kerjasama PAS, UMNO, Bersatu -
Kerjasama politik

PRN Melaka: Rintis jalan baharu kerjasama PAS, UMNO, Bersatu

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KENYATAAN Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang memberi bayangan bahawa masih ada ruang untuk PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) duduk bersama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai perintis jalan.

Bayangan itu seolah-olah menyuluh dan membuka jalan yang sepatutnya ditempuh tiga parti tersebut dan apa yang perlu dilakukan, semua parti perlu berlapang dada serta pandang ke depan.

Cadangan tersebut amat relevan ketika ini pada masa UMNO dan Bersatu tidak lagi sehaluan sekali gus mengendurkan ketegangan sedia ada.

Ini boleh dikatakan Tahaluf Siyasi atau perjanjian persefahaman politik baharu yang perlu disepakati antara PAS, UMNO dan Bersatu.

Malah boleh dikatakan lebih daripada Tahaluf Siyasi kerana Tahaluf Siyasi adalah kerjasama antara Islam dan musuhnya.

Ini tidak terpakai atau tidak sesuai antara PAS, UMNO dan Bersatu. Lebih molek dipanggil kerjasama dalam kerangka moden politik Islam.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, perkara itu dicapai dalam pertemuan dan mesyuarat pada malam tadi.

“Saya ingin menyampaikan berita gembira, walaupun ini bukan keputusan muktamad tetapi nampaknya ada ruang untuk ketiga-tiga parti duduk bersama pada PRN Melaka nanti.

“Malam tadi saya ada pertemuan serta mesyuarat dan ada beberapa ruang yang boleh kita capai bersama,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas Kali ke-61 dan melancarkan TV Wanita Sejahtera secara maya, hari ini.

Muafakat politik antara ketiga-tiga parti itu bukan sahaja meredakan malah mendinginkan suhu politik yang sedang menggelegak ketika ini.

Bukan itu sahaja Pas, UMNO dan Bersatu akan dapat mengelak pertembungan tiga atau empat penjuru pada PRN Melaka.

Ini akan menjadi model terbaik dan diteruskan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Jika berjaya adalah mekanisme terbaik untuk PRU-15.

Pada masa sama akan memberikan situasi menang-menang bukan sahaja kepada parti politik yang bertanding tetapi juga manfaat kepada rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Masih belum terlambat untuk mementerai dan mematri satu persefahaman politik antara tiga parti terbesar Melayu dan Islam itu.

Apatah lagi Rabu lalu, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS pada PRN Melaka menerusi Muafakat Nasional (MN) walaupun tiada pendirian yang dinyatakan mengenai kerjasama dengan Bersatu.

Perkara ini tidak mustahil kerana ketiga-tiga parti itu sebelum ini pernah bekerjasama dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Apa yang perlu dilakukan ketika ini berbincang dan mencari titik perdamaian dan persetujuan demi survival politik Melayu dan Islam. – SB