Rugi RM186,923 selepas diperdaya sertai pelaburan Bitcoin

0
255

SEORANG peniaga mendakwa kerugian RM186,923 selepas diperdayakan menyertai pelaburan bitcoin oleh rakan yang dikenali menerusi laman sosial Instagram, sejak pertengahan tahun ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 31 tahun itu mendakwa mengenali suspek pada Mei lepas dan sering melihatnya memuat naik gambar berkaitan bitcoin. 

“Suspek didakwa telah berkongsi alamat laman web pelaburan itu kepada mangsa dan selepas beberapa kali melayari laman web tersebut, mangsa akhirnya membuat pelaburan pertama pada Jun dengan modal sebanyak RM2,100. 

“Mangsa mendakwa telah membuat 10 pembayaran dalam tempoh dua bulan, yang akhirnya berjumlah RM186,923 sebelum mula berfikir untuk menarik diri kerana masih tidak menerima pulangan,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan, Pahang pada Selasa. 

Menurut Mohd. Wazir, suspek bagaimanapun didakwa memberitahu mangsa bahawa wang yang telah dilaburkan hanya boleh dikeluarkan semula selepas tiga bulan dan mangsa perlu menunggu sehingga tempoh pelaburannya matang. 

Bagaimanapun, sejak September lepas, mangsa mendakwa tidak dapat menghubungi suspek dan e-mel yang dihantar kepada pentadbiran laman web itu juga tidak berbalas, menyebabkan dia berasa ditipu. 

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.  – Bernama