Kes pegawai bank disyaki pecah amanah:Enam laporan disiasat

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din memberitahu, enam laporan masih disiasat polis dalam kes melibatkan seorang pengurus perhubungan pelanggan di sebuah institusi perbankan yang ditahan kerana terlibat kes pecah amanah.

“Suspek ditahan pada 21 September lalu. Hasil siasatan mendapati suspek melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang simpanan tetap milik mangsa untuk membeli tujuh jongkong emas untuk dirinya sendiri.

“Kami menerima tujuh laporan polis berkaitan kes pecah amanah ini membabitkan kerugian RM4 juta. Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan pada 27 September lalu namun mengaku tidak bersalah serta ditawarkan jaminan berjumlah RM30,000.

“Enam lagi laporan polis pula masih dalam siasatan. Kami percaya ramai lagi mangsa mengalami kerugian akibat perbuatan suspek, namun belum membuat laporan polis,” ujar Mohd. Kamarudin mengulas perkembangan kes itu, hari ini.

Mangsa-mangsa yang terlibat katanya, diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.