Kapal tangki bawa muatan minyak tanpa dokumen ditahan

0
410

PERGERAKAN sebuah kapal tangki dalam keadaan mencurigakan membongkar kesalahan yang dilakukan iaitu membawa muatan diesel tanpa sebarang dokumen pelepasan di pelabuhan Perairan Kemaman, Kemaman, kelmarin.

Kapal berkenaan ditahan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman pada pukul 10.45 malam semasa rondaan rutin di sekitar perairan Terengganu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapten bersama tiga kru kapal gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan (port clearance) yang sah.

“Kapal yang berdaftar di Port Klang itu ditahan dan dibawa ke tempat berlabuh, manakala kapten bersama tiga kru yang berusia antara 29 hingga 68 tahun dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman, di sini untuk siasatan lanjut

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Indonesia memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Rashidilhadi berkata, Maritim Malaysia memandang serius perkara ini dan sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas kapal-kapal yang berada di perairan negara ini bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here