Permohonan undi pos luar dan dalam negara PRN Melaka dibuka 20 Oktober ini

0
872

URUSAN bagi permohonan undi pos luar negara dan dalam negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang ke-15 yang akan diadakan pada 20 November depan, akan mula dibuka pada 20 Oktober ini.

Tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A yang melibatkan Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera dan Petugas Media adalah pada 3 November.

Manakala tarikh tutup bagi kategori 1B (Pengundi Luar Negara) dan kategori 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan dan Kesihatan) adalah pada 1 November.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, permohonan undi pos bagi Kategori 1B dan dan 1C akan dilaksanakan secara dalam talian berbanding secara manual sebelum ini.

“Pemohon perlulah mendaftarkan akaun di MySPR Daftar terlebih dahulu sebelum memohon sebagai pengundi pos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Permohonan untuk mengundi secara pos ini boleh dilakukan melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my

Dalam pada itu, syarat-syarat kelayakan pengundi pos Kategori Luar Negara seperti yang dilaksanakan sebelum ini telah dimansuhkan.

Syarat yang telah dimansuhkan adalah bermastautin di luar negara kecuali di Wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia serta syarat pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa.

Abdul Ghani menasihatkan pemohon agar memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.

Para pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk maklumat lanjut berkenaan pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal pengundi.spr.gov.my atau hubungi 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

SPR pada hari Isnin mengumumkan penetapan tarikh hari pengundian bagi PRU DUN Melaka adalah pada 20 November.

PRN Melaka perlu diadakan setelah SPR menerima pemakluman rasmi berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu berikutan empat Ahli DUN Melaka Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here