Jual daging kerbau mengaku daging rusa

0
54

HANYA kerana untung lebih seorang peniaga sanggup menipu pelanggan dengan menjual daging kerbau yang didakwanya daging rusa.

Namun, helah peniaga yang disyaki menjalankan perniagaan dan promosi secara dalam talian produk daging rusa melalui satu platform e-dagang itu telah berjaya dibongkar oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam, bertindak atas aduan, pihaknya menjalankan siasatan dan melakukan uji beli daging rusa itu sebelum sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian kecerakinan.

Jelas beliau, hasil laporan kimia mendapati, sampel daging rusa yang dipromosikan oleh peniaga terbabit adalah merupakan daging kerbau berdasarkan DNA yang dikesan melalui sampel itu.

Berikutan laporan itu, sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP telah menyerbu sebuah premis di Bandar Baru Sungai Buloh, kira-kira pukul 12.30 tengah hari 8 Oktober lalu.

“Hasil pemeriksaan itu, pasukan serbuan menemukan beberapa ketul daging sejuk beku yang dinyatakan daging rusa oleh pemilik premis di dalam sebuah peti sejuk beku dalam bentuk ketulan seberat 1 kilogram setiap satu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azman berkata, kesemua daging tersebut bersama dokumen-dokumen perniagaa telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,004.

Ujarnya, siasatan awal mendapati, modus operandi peniaga terbabit adalah menjual dan mengiklankan daging rusa sejuk beku secara dalam talian untuk pasaran tempatan pada harga RM42 sekilogram.

“Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Larangan Perihal Dagangan Palsu iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan denda seperti berikut iaitu jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM25,000, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM50,000.

“Selain itu, jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan,
didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” tambahnya.

Sementara itu, Azman berkata, KPDNHEP memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal.

Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika seperti ini boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi seperti Whatsapp 019-279 4317; Ez ADU KPDNHEP; Portal e-aduan.kpdnhep.gov.my Call Centre 1-800-886-800; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 dan e-mel [email protected]. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here