[VIDEO] Tiga lelaki direman kerana terlibat dengan pergaduhan di Changkat

0
342

TIGA lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di sebuah premis di Jalan Changkat Bukit Bintang direman selama dua hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan.

Menurut beliau, kesemua suspek telah diberkas selepas dipercayai terlibat dalam satu insiden pergaduhan yang tular di media sosial.

“Insiden berkenaan tular menerusi dua video berdurasi 37 saat dan 27 saat yang dimuat naik di laman sosial Twitter.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kemudiannya menjalankan siasatan dan menahan ketiga-tiga suspek berumur antara 32 hingga 52 tahun itu,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau juga berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menularkan video tersebut yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.

Dalam masa sama, pihaknya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here