Dua beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

0
704

DUA beranak Orang Asli maut dan seorang kanak-kanak cedera selepas motosikal mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, di Gua Musang, Kelantan, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu berlaku di di Kilometer 22, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Sejuk, Gua Musang.

Mangsa dikenali sebagai Jeli Udang, 34, dan anak lelakinya, Amir, 12, meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah pada kepala.

Menurut laporan Berita Harian, kedua-dua mangsa adalah dari perkampungan Orang Asli Kampung Pasir Linggi.

Seorang lagi anak mangsa berusia empat tahun yang belum diketahui identitinya cedera pada kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata kemalangan membabitkan sebuah motosikal ditunggang mangsa dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda serta seorang penumpang belakang terselamat, manakala seorang penumpang hadapan cedera ringan.

Kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal yang dibonceng bersama dua anaknya dalam perjalanan dari Gua Musang ke rumahnya di Kampung Pasir Linggi.

Sebaik sampai di lokasi, mangsa dikatakan secara tiba-tiba membuat pusingan U memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dan kedua-dua kenderaan terbabas ke dalam semak di tepi jalan.

Choon Foo berkata, mangsa tiga beranak terjatuh atas jalan menyebabkan dua beranak meninggal dunia dan seorang lagi anaknya cedera.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Bilik Forensik HGM untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here