[VIDEO] Pemandu Mazda ‘sodok’ penghantar makanan

0
306

MALANG tidak berbau. Walaupun sudah berhati-hati di jalan raya, masih berkemungkinan untuk terjadinya kemalangan.

Itulah yang terjadi kepada seorang penghantar makanan Food Panda yang dilanggar sebuah kereta Mazda berwarna hitam yang memandu dengan cuai dan lari sejurus kemalangan berlaku.

Menurut Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Mior Faridalathrash, kejadian langgar lari itu berlaku di Jalan Ampang ke Tambun, hadapan Balai Polis Tambun pada jam 9 pagi, semalam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta lelaki telah mengubah haluan dari kanan ke kiri jalan yang kemudiannya telah menghimpit dan melanggar sebuah motosikal yang ditunggangi oleh penghantar makanan lelaki yang ketika itu berada di sebelah kiri jalan hingga menyebabkan penghantar makanan tersebut jatuh.

“Pemandu kereta tersebut kemudiannya terus melarikan diri sejurus kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaubagaimanapun menurutnya, pemandu kereta terbabit kemudiannya telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk membuat laporan polis berkaitan kemalangan yang berlaku.

Tambah beliau, penghantar makanan itu telah mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut dan siku.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 terhadap suspek kerana memandu dengan cuai sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda minimum RM5,000 atau maksimum RM10,000 dan boleh juga penjara tidak melebihi 12 bulan, bagi sabitan pertama.

“Pesalah juga boleh dikenakan hukuman denda minimum RM10,000 atau maksimum RM15,000 dan boleh juga penjara tidak melebihi 12 bulan dan hilang kelayakan lesen memandu bagi sabitan seterusnya,” ujar beliau.

Rakaman video berdurasi 37 saat itu tular di media sosial selepas dimuatnaik oleh Sayer Cemey di Facebook dan mendapat hampir 400 komen serta 14,000 kongsi.

Majoriti netizen yang berkongsi video itu meluahkan rasa marah terhadap pemandu kereta tersebut yang dianggap tidak bertanggungjawab kerana melarikan diri dari tempat kejadian. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here