Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEDIAMAN Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon disimbah cat dalam satu kejadian yang berlaku di Jalan Sri Putri 1/8, Taman Putri Kulai, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 11.15 malam.
“Antara yang disimbah dengan cat merah termasuklah dua buah kereta dan pagar kediaman berkenaan. Turut ditinggalkan sekeping nota ugutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, sehubungan itu satu pasukan siasatan telah ditubuhkan untuk mengenal pasti suspek yang terlibat dalam perbuatan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Pada 23 September lalu, Jian Boon memaklumkan pihaknya menerima ugutan melalui panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali selepas mengadakan sidang akhbar berkaitan seorang wanita yang menjadi mangsa sindiket ah long.
Katanya, ugutan tersebut dibuat menerusi panggilan telefon kepada bapanya yang berusia 58 tahun.

“Dalam panggilan itu, individu berkenaan mengatakan kepada bapa saya untuk saya tidak sibuk membantu orang atau jika tidak mereka akan membakar rumah kami” katanya. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.