[VIDEO] Alasan tarik diri: Kekangan tugas atau sedar harapan menang tiada?

DATUK Seri Ahmad Maslan pada Khamis mengumumkan menarik diri daripada menjadi calon Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Pontian, keputusan itu dibuat setelah kekangan serta tangungjawab tugas sebagai Setiasausaha Agung UMNO.

Selain itu, keputusan penarikan diri itu perlu dibuat segera bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menentukan calon baharu dalam tempoh yang diperlukan.

Peraturan persidangan memerlukan pencalonan dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan Dewan Rakyat sesi akan datang bermula iaitu, 25 Oktober ini.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Ahmad Maslan turut memberitahu bahawa dia tidak pernah melobi jawatan itu, sebaliknya dicalonkan oleh Perdana Menteri.

Apa pun alasan yang diberikan, peluang untuk Ahmad Maslan menang jika dicalonkan sekali pun sangat tipis.

Sudah tentu faktor utama kemenangan ditentukan berdasarkan sokongan daripada ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, PN tetap dengan keputusan sebelum ini tidak menyokong pelantikan mana-mana individu yang terkait dengan kes-kes mahkamah.

Keputusan itu diperkuatkan lagi dengan keputusan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional bahawa tiada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.

Kenyataan itu mesej jelas ketegasan PN, sekali gus menutup peluang Ahmad Maslan.

Oleh itu ramai pemerhati politik berpendapat, sebelum terlambat, adalah lebih baik menarik diri.–SB