Hanya perlukan 1.6 peratus capai sasaran 90 peratus lengkap vaksin

TINGGAL kurang dua peratus sahaja lagi bagi Malaysia mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa melengkapkan vaksinasi COVID-19.

Berdasarkan data yang dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, 88.4 peratus atau 20,698,852 golongan dewasa, sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing setakat semalam.

Setakat semalam juga, sebanyak 120,402 atau 3.8 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 224,034 dos suntikan vaksin diberikan semalam membabitkan 122,153 dos pertama dan 101,881 dos lengkap.

Ia menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,797,925 dos. PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara. – SB