Covid-19: Terengganu dilanda varian Delta dan Beta

0
450

WALAUPUN kes harian positif Covid-19 agak rendah berbanding negeri lain, namun Terengganu kini dilanda kebimbangan berikutan penularan varian Delta dan Beta yang semakin meningkat.

Sejak Julai sehingga 5 Oktober, sebanyak 42 kes membabitkan penularan kedua-dua varian berkenaan iaitu 33 kes Delta dan sembilan kes Beta di Terengganu

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes Delta tertinggi iaitu sebanyak tujuh kes, Kemaman (enam), Besut (lima), Dungun (empat).

Daerah Marang dan Setia masing-masing merekodkan dua kes, manakala enam lagi membabitkan kluster di Kemaman dan Dungun.

Katanya, varian Beta pula membabitkan lima kes di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu (dua) dan masing-masing satu kes di Marang dan Besut.

“Fakta penting perlu diberi perhatian utama adalah kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah.

“Walaupun individu sudah mengambil vaksin tetapi masih belum kebal sepenuhnya dan seluruh masyarakat jangan leka serta pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

Dr Kasemani berkata, walaupun Terengganu sudah mula melangkah ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 17 September lalu, orang ramai disaran mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, rakyat disaran tidak alpa dengan pelbagai kelonggaran dalam aktiviti ekonomi, sukan serta pelancongan domestik.

“Jangan lupa kes Covid-19 masih lagi tinggi dan keberadaan varian Beta serta Delta menular di semua daerah yang boleh menyebabkan kadar jangkitan lebih tinggi,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here