Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Maqis Pulau Pinang tahan lebih RM20 juta gandum Australia -

Maqis Pulau Pinang tahan lebih RM20 juta gandum Australia

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk lebih 14,118 tan gandum Australian Standard White dan Australian Premium White dari Australia di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth kelmarin.

Dagangan pertanian bernilai lebih RM20 juta itu disita hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Maqis Pulau Pinang di Pelabuhan Kargo Pukal DAD.

Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati sebuah kapal kargo pukal yang memuatkan sebanyak 14,118,340 kilogram (kg) gandum itu ditahan kerana telah mengemukakan maklumat yang berbeza serta mengelirukan pada permit import Maqis yang sah.

“Nilai keseluruhan dagangan yang dianggarkan RM20,484,211.00 tersebut telah ditahan oleh pihak Maqis untuk tindakan selanjutnya,” demikian menurut kenyataan itu.

Lebih RM20 juta gandum disita hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa Maqis Pulau Pinang di Pelabuhan Kargo Pukal DAD

Tambah kenyataan itu, pengimportan dengan mengemukakan maklumat palsu, tidak tepat dan mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Maqis mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya. – SB