Eksport perabot negara dijangka meningkat ke RM12.5 bilion

PRESTASI eksport perabot negara setakat Jun 2021 yang mencatatkan pulangan RM5.58 bilion memberi petunjuk ia bakal mencatatkan peningkatan ketara.

Trend kenaikan itu membuatkan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) optimis untuk menyasarkan pulangan sebanyak RM12.5 bilion bagi eksport industri perabot negara.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sasaran itu adalah 20 peratus lebih daripada perolehan pada tahun lalu, iaitu RM10.63 bilion.

“Pada tahun 2019, industri perabut telah menyumbang RM9.14 bilion dan pada tahun 2020 RM10.63 bilion.

“Pada tahun 2021 sehingga Jun kita telah mengeksport RM5.58 bilion ke luar negara dan untuk penghujung 2021, kita sasarkan sebanyak Rm12.5 bilion yang mana ia akan menghasilkan sebanyak peningkatan 20 peratus daripada 2020,” katanya ketika menjawab sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin.

Menurut Zuraida, bagi tujuan itu, kementeriannya telah mengenalpasti beberapa lagi negara sasaran eksport perabot negara selain empat negara utama iaitu Amerika Syarikat, Jepun, China dan Singapura.

“Kita telah mengenalpasti beberapa negara yang mempunyai memerlukan kayu-kayan tropikal seperti Amerika Utara, Kanada, India dan Timur Tengah.

“Ini adalah pasaran yang kita akan pelopori untuk tingkatkan lagi ekport negara kita,” jawab beliau. – SB