SEBANYAK 1.8 tan makanan haiwan dari Itali dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth Pulau Pinang petang semalam selepas didapati cuba dibawa masuk tanpa permit import sah.
Produk yang dimuatkan di dalam 1,800 pek seberat masing-masing satu kilogram itu dirampas ketika pemeriksaan rutin anggota jabatan berkenaam di tapak pemeriksaan Gudang Zon Bebas DAD pada pukul 5.40 petang.
Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemeriksaan mendapati keseluruhan makanan haiwan tersebut yang cuba dibawa masuk menggunakan sebuah kontena tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.
“Sehubungan itu, produk makanan haiwan bernilai RM10,557.85 tersebut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, perbuatan mengimport dagangan tanpa permit import Maqis yang sah adalah kesalahan dibawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728].
Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), Akta yang sama dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” tambahnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.