KERAJAAN hari ini mengumumkan berita gembira kepada peminat sukan terutama acara bola sepak apabila mereka dibenarkan hadir menonton perlawanan di stadium atau lokasi pertandingan.
Kelonggaran bagi sektor latihan dan sosial itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi negeri Fasa 2 hingga 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, kerajaan membenarkan kehadiran penonton ke perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, 3 dan Fasa 4.
“Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat penonton atau penyokong menerima vaksinasi lengkap.
“Mereka juga perlu memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.
“Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik juga membuat keputusan kelonggaran baharu bagi majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian serta bengkel.
“Kelonggaran itu diberikan kepada negeri Fasa 2 dan Fasa 3 dengan syarat tetamu menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50 peratus ruang premis manakala 100 peratus kapasiti penuh bagi Fasa 4.
“Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani ‘pre-event test’ menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan,” katanya.
Selaras pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) yang berkuat kuasa 15 Oktober depan, katanya mesyuarat turut memutuskan pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET serta sebagainya di semua fasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan memandang serius isu segelintir individu yang keluar daripada kediaman biarpun sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Beliau memberi amaran, individu yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas kerana sikap tidak bertanggungjawab itu boleh mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat dan menjejaskan usaha kerajaan menangani wabak Covid-19.
“Walaupun kerajaan memberi kelonggaran, namun saya berharap rakyat dapat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
“Negara kini sedang menuju ke fasa endemik yang mana kita akan terus hidup bersama Covid-19 dalam kehidupan norma baharu.
“Kerjasama Keluarga Malaysia amat diharapkan agar terus mengamalkan kawalan kendiri, jaga kebersihan demi keselamatan diri,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.