Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Gajah 'Awang Nor' dipindahkan -

Gajah ‘Awang Nor’ dipindahkan

SEEKOR gajah jantan liar seberat dua tan dinamakan ‘Awang Nor’ yang menjadi kerisauan penduduk Kampung Sungai Tias di sini, berjaya dijinak dan dipindahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata gajah liar berusia 20 tahun itu ditangkap pada 10.30 pagi, Sabtu lepas setelah menerima aduan daripada penduduk setempat sehari sebelum tangkapan itu dilakukan.

“Aduan ini merupakan aduan berulang yang melibatkan dua ekor gajah liar yang dalam pemantauan kami dan bertindak atas aduan berkenaan, seramai lapan kakitangan kami telah mengambil tindakan tembak halau bagi menghalau gajah liar berkenaan supaya kembali semula ke hutan simpan berhampiran tetapi tidak berhasil.

“Operasi tangkapan gajah liar itu diketuai oleh Ketua Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan Mohd Firdaus Hasbullah dan dibantu oleh tujuh kakitangan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ady Ermanty berkata operasi tangkapan gajah liar itu dijalankan bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk setempat selain memastikan keselamatan penduduk kampung dan gajah liar tersebut.

“Kita anggarkan jumlah kerugian yang dialami oleh penduduk kawasan itu pada tahun ini adalah kira-kira RM70,000 susulan ‘kehadiran’ haiwan liar itu dengan memusnahkan kebun penduduk.

“Kita percaya gajah liar ini keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Serasa untuk mencari sumber makanan dan populasi gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 12 ekor,” katanya.

Ady Ermanty berkata operasi pemindahan gajah jantan itu diketuai Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah Lanchang, Pahang Che Ku Zamzuri Che Wan Ab Rahman serta melibatkan seramai 25 kakitangan.

“Dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Terengganu iaitu Kala dan Suria telah digunakan bagi membantu operasi pemindahan gajah liar berkenaan dan gajah liar tersebut akan dilepaskan semula ke habitat semula jadi di Taman Negara Kelantan-Terengganu-Pahang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk kampung itu agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun supaya tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan.

“Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan menerusi laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.