SEORANG ibu menghadapi situasi mengerikan apabila ibu jari bayinya yang berusia satu tahun hilang ibu jari setelah dirobek oleh seekor harimau dalam satu kejadian di sebuah taman safari di Russia, semalam.
Menurut laporan Daily Star, Anastasia G, 22, berkata ibu jari bayi lelakinya, Leon terputus sepenuhnya serta amat mustahil untuk mendapatkannya kembali daripada haiwan buas berkenaan.
Katanya, ketika itu mereka sedang berdiri di belakang pagar serta terdapat jarak 30 sentimeter antara pagar tersebut dengan jaring yang memisahkan pengunjung dan haiwan-haiwan di taman safari berkenaan.
“Segalanya sempurna sehingga saya tiba-tiba menyedari terdapat darah, dan anak saya telah kehilangan ibu jarinya.
“Anak saya menjerit dan menangis, saya sangat terkejut dan tidak dapat berfikir. Saya terus mengambil anak saya ke dalam pelukan dan berlari untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Ibu tersebut berkata, dia tidak mendengar apa-apa seperti ngauman atau sebagainya sebagai amaran sebelum insiden itu berlaku.
Anastasia turut mendakwa kandang yang mengurung haiwan itu mempunyai celahan yang membolehkan harimau berkenaan mengeluarkan salah satu kakinya.
Dia kemudian bergegas untuk mendapatkan jururawat di pusat pertolongan cemas, sebelum ambulans membawa bayi malang itu ke sebuah hospital di Simferopol.
Menurutnya, salah seorang pengunjung yang menyaksikan kejadian ngeri itu berkata, harimau itu melompat dari atas, dan menarik lengan bayi tersebut dengan salah satu cakarnya.
Pihak berkuasa tempatan mendakwa ibu berkenaan telah melebihi jarak yang selamat pada ketika itu, namun perkara itu dinafikan olehnya.
Bagaimanapun, pihak taman safari berkenaan dilaporkan masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berkenaan insiden tersebut.
Anastasia berhasrat untuk melakukan tuntutan terhadap taman safari itu atas kecuaian mereka dalam menjamin keselamatan pengunjung–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.