PEMANDU lori terbabas di Kilometer 10.9 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) menghala ke arah Subang, yang videonya tular semalam disahkan positif dadah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, lori dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun hilang kawalan secara tiba-tiba kerana pemandunya dipercayai tertidur lalu terbabas.
“Selang beberapa minit kemudian, sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah yang sama gagal mengelak dan terlanggar lori berkenaan (tiada dalam rakaman).
“Bagaimanapun, lelaki berkenaan hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ramsay berkata, ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori itu positif methamphetamine.
“Suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman atas kesalahan mengikut Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagi kesalahan trafik pula, kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan semasa di bawah pengaruh dadah.
Beliau berkata, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697.
Sementara itu video kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai daripada rakaman salah seorang pengguna jalan raya ketika melalui jalan sama.
Menerusi video itu, kelihatan lori terbabit dari lorong kanan, kemudian terhuyung-hayang sebelum terbabas memasuki lorong kiri, lalu terbalik.
Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal yang merakam kejadian itu terpaksa memperlahankan dan menghentikan kenderaannya secara tiba-tiba.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.