SEORANG wanita warga Nepal memberikan alasan sakit kaki untuk mendapatkan rawatan di klinik, tetapi dia sebenarnya kesakitan selepas melahirkan bayi di sebuah asrama pekerja asing di Alor Gajah, Melaka.
Bayinya yang berusia dua hari ditemui mati dan perbuatannya terbongkar apabila pemandu van kilang mengesyaki sesuatu selepas diminta menghantar wanita terbabit ke klinik, sebelumnya membawanya ke hospital.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.10 pagi semalam daripada pekerja kilang di Alor Gajah, sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.
“Tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat di dalam plastik hitam di atas katil asrama berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Siasatan awal mendapati, suspek berusia 28 tahun itu telah meminta pemandu van kilang untuk membawanya ke klinik panel kilang pada Isnin lepas (20 September) kira-kira 1.30 pagi atas alasan sakit kaki.
“Mengesyaki suspek baru sahaja lepas keguguran, pihak klinik tersebut merujuk wanita tersebut ke Hospital Alor Gajah, sebelum kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka.
Susulan itu, suspek ditahan sekitar 12 tengah hari semalam dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala mayat bayi itu telah dibawa ke bahagian Forensik hospital itu untuk dibedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pihak polis juga sedang mengesan teman lelaki suspek yang juga merupakan warganegara Nepal, untuk membantu siasatan,” katanya. – SB