Mangsa lemas ditemui selepas lima jam

Mayat mangsa lemas di Sungai Balak, Batang Kali di Hulu Selangor ditemui selepas lima jam gerakan mencari dan menyelamatkan dijalankan bermula petang semalam.

Mangsa, Sunny Dell Ashraff Sa’ari, 23 dilaporkan hilang jam 4.31 petang semalam dan ditemui pada jam 9.55 malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata mayat mangsa, dijumpai pasukan pencari pada kedalaman 2.4 meter (8 kaki), kira-kira 50 meter dari tempat dilaporkan hilang.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Sebelum itu, mangsa dilaporkan lemas ketika mandi-manda bersama empat rakannya di sungai berkenaan.

Norazam berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 4.31 petang tadi dan menggerakkan lapan pegawai serta anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu untuk operasi SAR.

Sementara itu, Pegawai Kanan Operasi, Penguasa Kanan Bomba II Samsol Maarif Saibani berkata, mangsa bersama empat rakan dari Asam Jawa, Kuala Selangor ke Sungai Balak untuk bertemu seorang saudaranya.

“Mereka kemudian ke kawasan sungai untuk berkelah kira-kira jam 4 petang dan ketika rakan lain sedang makan di tepi sungai, mangsa dilihat terjun ke kawasan sungai itu untuk mandi.

“Mangsa kemudian dilihat dibawa arus dan masuk ke kawasan air berpusar di sungai itu dan terus tenggelam,” katanya memetik laporan BH. – SB