Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PGA7 rampas karkas babi hutan bernilai RM50,000 -

PGA7 rampas karkas babi hutan bernilai RM50,000

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion ke-7 merampas sebanyak 2,000 kilogram (kg) karkas babi hutan dianggarkan bernilai RM50,000 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand berdekatan Kampung Degong, Lubok Setol, Pasir Mas, Kelantan, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, sebuah van jenis Econovan dilihat dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan, sebelum anggota PGA7 yang sedang meronda mengekorinya.

“Sebaik van itu berjaya diberhentikan di hadapan sebuah rumah dan pemeriksaan dilakukan didapati terdapat timbunan karkas babi hutan disyaki cuba diseludup ke Thailand,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pemandu van yang juga seorang lelaki berketurunan Siam ditahan setelah gagal menunjukkan sebarang dokumen mengenai barangan yang dibawanya.

Menurut Azhari kesemua barangan termasuk kenderaan telah disita dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Setol. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sekitar RM58,000.

Barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidup Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), katanya.

Dalam perkembangan lain, Azhari berkata pihaknya juga menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang disyaki menjadi ‘tentera semut’ dalam kegiatan penyeludupan beras Siam di Kampung Periuk dekat Tumpat, malam tadi.

Beliau berkata dalam kejadian itu pasukannya telah terserempak dengan sebuah Proton Iswara berdekatan Kampung Kajang Sebidang sebelum pemandunya memecut ke arah Cabang Empat Tumpa, namun keretanya terbabas ke dalam parit di tepi jalan sebelum suspek ditahan.

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat beras di dalam kereta disyaki diseludup dari Thailand ke Malaysia dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,000 dan barang rampasan diserahkan kepada pihak berkaitan.

Kesemua barangan rampasan dibawa balik ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, katanya. BERNAMA