SEBANYAK RM593 juta perbelanjaan tambahan digunakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sejak tahun lalu, bagi membeli kelengkapan berkaitan untuk mengurus pesakit Covid-19 di seluruh negara.
Menjawab soalan yang dikemukakan Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar), Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, peruntukan tambahan itu bagaimanapun tidak termasuk RM148 juta sumbangan yang diterima dari dalam dan luar negara.
Beliau turut memaklumkan penambahan jumlah petugas kesihatan juga sudah dibuat di beberapa negeri yang merekodkan peningkatan kes positif Covid-19.
Antara negeri yang sudah menerima penambahan petugas kesihatan adalah Pulau Pinang membabitkan seramai 223 orang, Kedah (156) dan Sabah (102).
Khairy berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan petugas barisan hadapan sedia ada tidak berdepan bebanan kerja.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Redzuan Yusof (PN-Alor Gajah) mengenai kos rawatan pesakit Covid-19, Khairy berkata, perkara itu akan diperincikan melalui jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat. – SB