Kapal tangki asing ditahan bersauh tanpa kebenaran

0
332

Oleh RAHIMI MOHAMAD

MESKIPUN Op Jangkar Haram yang dilakukan secara berterusan menyaksikan penurunan ketara aktiviti kapal dagang berlabuh secara haram di kawasan Tompok Utara yang dahulunya menjadi ‘hotspot’ bagi kapal-kapal dagang asing.

Namun, masih ada pihak yang ingkar dan berdegil seolah-olah mahu mencabar kedaulatan dan keselamatan negara serta pihak berkuasa yang dipertanggungjawab mengawal perairan tanah air.

Terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 26 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil di Kota Tinggi, petang semalam.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, kapal berkenaan ditahan pada pukul 3.36 petang.

“Kapal tangki itu dikendalikan tujuh kru warga Myanmar dan Indonesia berumur antara 22 tahun hingga 59 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Nurul Hizam, kapal tangki dan semua kru berkenaan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, Maritim Johor akan meneruskan penguatkuasaan Op Jangkar Haram dan sentiasa memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negeri Johor sentiasa dipelihara. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here