NS dijangka beralih ke Fasa 4 PPN seminggu lagi

0
297

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

Negeri Sembilan dijangka beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh seminggu lagi.

Namun kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, peralihan itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya bilangan kes harian Covid-19 di negeri ini menunjukkan penurunan.

Ketika ini katanya, negeri tersebut hanya merekodkan 170 ke 200 lebih kes baharu Covid-19 sehari.

“Kalau ikut perkiraannya, memang kita sudah layak untuk ke fasa empat, cuma kita diminta untuk memantau selama seminggu lagi.

“Keputusannya bergantung kepada keadaan semasa kes selain mengambil beberapa faktor lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), hari ini.

Aminuddin (dua kiri) menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kereta Perodua Axia pada Majlis Penyampaian Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MPPD di Port Dickson

Sehubungan itu, Aminuddin meminta rakyat di negeri ini untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama selepas beralih ke fasa empat nanti bagi mengelakkan kes Covid-19 kembali meningkat.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, apabila Negeri Sembilan beralih ke Fasa 2 PPN mulai 4 September, ia memberi ruang dan peluang kepada banyak sektor seperti ekonomi, pelancongan dan industri dibuka semula dengan SOP ditetapkan.

“Saya berharap, dengan kelonggaran yang diberikan, orang ramai dapat menjaga diri dan keluarga dengan senantiasa memakai pelitup muka serta penjarakan sosial ketika berada di tempat yang ramai orang.

“Saya juga yakin Port Dickson juga akan dibuka untuk pelancongan dalam negara sedikit masa lagi,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here