ENAM belas September merupakan hari yang bersejarah bagi Keluarga Malaysia, Pembentukan Malaysia yang sekaligus membawa keamanan dan kesejahteraan kepada kita semua.
Secara tidak langsung, pembentukan Malaysia dapat menyatukan kita semua di bawah satu bumbung Keluarga Malaysia yang harmoni kerana konsepnya yang amat bersesuaian dengan kepelbagaian dan keunikan kaum dan etnik di Malaysia, terutamanya Sabah dan Sarawak.
Sambutan Hari Malaysia setiap 16 September membuktikan kita dapat hidup dengan bersatu padu dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam satu Keluarga Malaysia, serta semangat sambutan ini harus dijadikan inspirasi dalam usaha kita memerangi pandemik Covid-19.
Pada 16 September 1963, upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan pengisytiharan itu dibacakan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia.
Upacara gemilang itu telah dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah.
Namun pada hari ini, kita telah pun diperkenalkan dengan Konsep Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bertepatan dalam usaha memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Konsep itu pada masa yang sama dapat merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum demi keutuhan negara dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, bersama kita berjuang, demi Malaysia. Selamat Hari Malaysia! – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.