PEGAWAI kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad hari ini membidas kenyataan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengatakan ketuanya itu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana tidak sukai rakyat.
Dr. Marzuki dalam catatan laman Facebook beliau hari ini mengatakan, kenyataan Naib Presiden UMNO menunjukkan seolah-olah beliau tidak dapat melihat kenyataan sebenar di sebalik keputusan Muhyiddin itu.
Tambah beliau, kenyataan Khaled itu jelas bertentangan dengan dapatan kajian persepsi awam Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendapati 92% responden tak setuju Tan Sri Muhyiddin letak jawatan.
“Hasil kajian ini disiarkan pada 9 September, Khaled buat kenyataan 11 September.
“Elok ada orang bantu dia buat kajian sikit sebelum dia bercakap,” kata beliau.

Kajian bertajuk ‘Public Perception on Election Management, the Election Commission & Democracry in Malaysia’ yang dijalankan Prof Madya Helen Ting dan Prof Madya Andrew Kam mendapati majoriti 2,627 responden yang diwawancara secara bersemuka tidak bersetuju dengan peletakan jawatan Muhyiddin akan menjamin kestabilan politik kepada negara.
Dr. Marzuki turut membidas Khaled yang mempersoalkan tindakan Muhyiddin tidak membangkang tawaran kerjasama rentas parti di Parlimen yang diumum oleh Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, Khaled seperti tidak mengikuti berita semasa serta tidak dapat melihat kenyataan sebenar.
Tambahnya, sikap Khaled amat merbahaya kepada rakyat jika individu seperti beliau diangkat sekali lagi jadi pemimpin.
“Khaled Nordin tanya kenapa Tan Sri Muhyiddin tak bangkang tawaran kerjasama rentas parti di Parlimen yang diumum oleh PM. Dia tak baca berita ke?,” kata Dr Marzuki.
Khaled semalam mengkritik ucapan Muhyiddin semasa ulang tahun Bersatu kelima yang menegaskan pendirian untuk tidak membiarkan kleptokrat kembali berkuasa dan akan terus melawan kumpulan tersebut.
Beliau mendakwa tawaran yang dibuat Ismail Sabri adalah pendekatan baharu tetapi faktanya Muhyiddin terlebih dahulu membuat tawaran tersebut tetapi ia ditolak oleh pembangkang sebelum ini.
“Tan Sri Muhyiddin dah umum perkara yang sama pada 13 Ogos 2021. Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga,” bidas Dr Marzuki lagi.
Muhyiddin semasa menyampaikan ucapannya menjelaskan punca sebenar memberikan sokongan kepada Ismail Sabri menjadi PM.
Jelasnya, langkah tersebut bagi mengelakkan Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi kerajaan dengan sokongan “kumpulan kleptokrat” dan Bersatu pula menjadi pembangkang.
– SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.