TAN Sri Muhyiddin Yassin petang tadi meluangkan masa berkunjung ke kawasan perniagaan di Setapak Jaya, satu daripada kawasan atau wilayah ‘bebas berniaga’ di Kuala Lumpur yang menjual pelbagai aneka makanan, minuman, kudapan dan buah-buahan tempatan.
“Alhamdulillah, saya merasa amat gembira apabila rata-rata peniaga yang ditemui menyatakan kehidupan mereka kembali bersinar melalui kebenaran menjalankan perniagaan yang diberikan Kerajaan.
“Tambahan lagi, hampir kesemua yang meniaga menceritakan mereka sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin,” ujar bekas Perdana Menteri itu dalam hantaran di Facebook hari ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, keceriaan yang terpamer di wajah peniaga kecil ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi negara semakin jelas.
“Saya amat menghargai usaha DBKL yang memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai dalam tempoh ditetapkan di sekitar bandar raya tanpa dikenakan sebarang bayaran.
“Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) saya akan memastikan sektor dan peniaga-peniaga kecil ini terus dibantu dalam setiap perancangan Kerajaan membawa negara keluar dari kemelut ekonomi kesan daripada pandemik COVID-19,” ujarnya.
Ruang yang luas perlu diberikan kepada usahawan dan peniaga kecil ini untuk menjalankan perniagaan, seiring hasrat Kerajaan memastikan mereka terus berupaya menjana pendapatan.
“Saya juga bangga melihat SOP diamalkan oleh para peniaga dan juga pembeli, yang kesemuanya memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal dalam berurusniaga.
“Langkah untuk terus membantu peniaga kecil ini akan saya bangkitkan dalam mesyuarat pertama MPN yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, langkah yang sewajarnya akan saya ambil dalam perancangan kita untuk memastikan lebih banyak sektor ekonomi, sosial, kesihatan, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain kembali pulih sebagaimana sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.
“Mari kita doakan yang terbaik untuk negara kita yang tercinta dan rakyat Malaysia yang bertungkus lumus berusaha dan bekerja menjana pendapatan di mana sahaja anda berada. Moga anda dan kita sentiasa dilindungiNya!,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.