[VIDEO] Undi percaya akan tutup mulut pengkritik: Penganalisis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus memenuhi keperluan perlembagaan dan berdepan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi membuktikan mempunyai sokongan majoriti serta meredakan suhu politik negara.

Penganalisis berpendapat, tindakan melengahkan usul undi percaya tidak wajar kerana ia merupakan satu titah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata, perjumpaan Ismail Sabri bersama pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan membuka laluan yang lebih mudah untuk beliau buktikan sokongan undi percaya.

“Lagipun dengan apa yang berlaku selepas Datuk Seri ismail Sabri berjumpa pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim dan yang lain, maka saya rasa hasil daripada perjumpaan tersebut barangkali akan membuka laluan yang lebih mudah untuk beliau buktikan sokongan.

“Kerana jelas daripada pertemuan itu, pihak pembangkang memberi komitmen bahawa tidak akan menyusahkan kerajaan dengan syarat kerajaan akan pro-aktif dengan sebarang tindakan yang dilihat berkesan bagi melawan Covid-19, dan susah tentu program-program pro-rakyat yang bakal dibentang oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi wartawan SatuBerita.

Beliau juga berpendapat, jika usul undi percaya dilengahkan, ini barangkali akan menghantar satu ‘signal’ yang tidak sesuai dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Mujibu, jika usul undi percaya tidak diadakan, maka hubungan antara kerajaan dan Istana Negara akan terjejas.

“Apa yang kita lihat terhadap kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, sudah menunjukkan yang bagaimana ia oleh menjejaskan hubungan, seperti dalam krisis darurat, pengumuman proklamasi darurat.

“Satu gencatan politik yang pada peringkat awal sudah diperoleh oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri, maka, jika dilengahkan undi percaya, saya rasa ia akan menyusahkan kerajaan beliau,” ujarnya.

Bagaimanapun, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula menegaskan, perkara itu tidak perlu diperbesarkan atau dijadikan polemik.

“Isu ini adalah isu yang tidak perlu diperbesarkan, kerana kita berada di dalam satu konteks politik yang semakin stabil, dan kita akan menghadapi PRU-15 tidak lama lagi.

“Jadi apa yang perlu pada masa ini adalah penumpuan supaya isu-isu yang boleh menjejaskan sistem atur urus tadbir negara, perlu diselesaikan,” ujarnya.

Nirwandy juga berkata, beliau berharap perkara tersebut tidak dipolitikkan oleh golongan-golongan tertentu hingga ia mengakibatkan satu bentuk gangguan dan ketidakstabilan politik.

“Maka kita harap ia tidak dipolitikkan oleh golongan-golongan tertentu hingga ia mengakibatkan satu bentuk gangguan dan ketidakstabilan politik. 

“Kerana jelas rakyat mahukan satu bentuk pentadbiran yang stabil dan penumpuan harus diberikan pada pembentukan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan kehadiran parti pembangkang, penubuhan Jawatankuasa Parlimen dan memastikan aspirasi Keluarga Malaysia itu dapat dijayakan bersama di kalangan blok pembangkang, kerajaan dan masyarakat,” katanya.

Tegas beliau, gencatan politik amat penting untuk dilakukan di kalangan 114 Ahli Parlimen yang menyokong pimpinan Ismail Sabri, blok pembangkang dan masyarakat sendiri. – SB