TIADA sebarang hukuman dikenakan termasuk denda RM1,500 kepada mana-mana individu sekiranya tidak klik “check-out” atau waktu mendaftar keluar pada aplikasi MySejahtera.
Ketika ini, klik itu hanyalah sebagai indikator daftar keluar meninggalkan mana-mana lokasi atau premis bagi memudah pemantauan.
Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam kenyataan memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan grafik yang tular menerusi media sosial mengenai perkara itu.
“Tiada denda RM1,500 dikenakan kepada individu yang tidak klik ‘check-out’ pada aplikasi MySejahtera sebagaimana yang dinyatakan grafik tersebut.
“Orang ramai disaran agar tidak berkongsi maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan orang ramai perlu sentiasa membuat semakan menerusi media sosial rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.
Klik tanda keluar itu adalah antara penambahbaikan terkini di dalam aplikasi MySejahtera bertujuan memudahkan kerja pemantauan pergerakan sekiranya mereka didapati positif atau kontak rapat dengan mana-mana pesakit Covid-19. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.