[VIDEO] Benarkah UMNO mahu tukar Speaker, apa ‘dosa’ Azhar?

DESAS-desus mengenai gerakan mahu menukar Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun semakin jelas kedengaran sejak kebelakangan ini.

Pengakuan daripada pelbagai pihak khususnya ahli-ahli Parlimen pembangkang menguatkan lagi dakwaan itu.

Namun di sebalik suasana ribut itu terdapat juga laporan bahawa UMNO, sebuah parti dalam blok kerajaan dan Perdana Menteri dilantik daripada parti itu turut sama masuk gelanggang, mahu untuk menukar speaker.

Kenapa dan apa perlunya parti itu berbuat demikian. Adakah tidak berpuas hati kerana Speaker Dewan Rakyat hari ini pelantikkannya dicadangkan oleh Bersatu ketika kerajaan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Atau adakah UMNO mahu mewujudkan ‘legasi’ sendiri untuk melantik Ahli Parlimen daripada parti tersebut?

Tindakan UMNO jika benar menghantar usul tersebut amat tidak wajar kerana ia akan menimbulkan pelbagai kesan lain. Paling besar sudah tentu keharmonian dalam gabungan kerajaan.

Ini kerana parti-parti lain dalam kerajaan belum tentu akan bersetuju dengan ‘langkah politik’ UMNO tersebut.

Tindakan itu juga bakal menyulitkan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini dalam misi penting untuk membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 dan ekonomi yang suram.

Apa akan berlaku jika Perdana Menteri tidak bersetuju membawa usul itu? Adakah UMNO akan melakukan sesuatu ke atas Perdana Menteri?

Aspek lain yang boleh dilihat ialah, tidakkah tindakan UMNO ini akan menguntungkan blok pembangkang di Parlimen.

Oleh itu amat malang jika UMNO berterusan dengan tindakan politik kurang cerdik ini. Sepatutnya apabila Dewan Rakyat bersidang pada 13 September ini, tidak boleh ada usul yang boleh membawa ketegangan.

Sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada pembentangan usaha bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, Rancangan Malaysia Ke-12 dan pembentangan bajet.

Cukuplah soal politik,soal berebut kuasa dan kedudukan, semua itu tidak memberi faedah kepada rakyat.