TENTERA Darat Malaysia (TDM) menganugerahkan kenaikan pangkat Koperal, kepada Allahyarham Lans Koperal, Mohamad Azrin Mohamad Isa bagi menghargai khidmat baktinya sepanjang bertugas sebagai anggota tentera selama tujuh tahun.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata penganugerahan pangkat itu secara ‘posthumous’.
“Sesungguhnya kemalangan yang menimpa Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa ini merupakan satu kehilangan buat negara.
“Pemergiannya sudah pasti akan amat dirasai bukan sahaja oleh keluarganya, bahkan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan istiadat pengebumian Mohamad Azrin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam, Sungai Petani, Kedah, hari ini.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu kira-kira 2 petang tadi.
Zamrose berkata, pihaknya turut menzahirkan ucapan takziah dan dukacita kepada isteri Allahyarham, Nor Aqila Syafiqa Safuan serta seluruh ahli keluarganya yang lain atas kehilangan insan tersayang mereka.
Beliau berkata, bantuan yang akan diberikan kepada waris Allahyarham adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah lain) 1982.
“Justeru, pemberian faedah kelayakan kematian adalah dianugerahkan kepada balu dan anak serta ibu atau bapa yang mengambil kira jumlah perkhidmatan diakui Allahyarham dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia selama tujuh tahun, empat bulan 20 hari,” katanya.
Zamrose berkata waris Allahyarham juga diberikan bantuan segera berjumlah RM4,500 termasuk bantuan pengurusan jenazah dan juga derma tanggungan.
Allahyarham Mohamad Azrin ialah anggota tinjau daripada Pasukan Kompeni PANDURA (PARA) dan dipercayai lemas serta hilang ketika menjalani latihan Eksesais PARA Predator Siri 1/2021 pada 4.40 petang, Ahad yang lalu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.