MAKLUMAT siasatan Perisikan Pertahanan Malaysia mempunyai laporan dan bukti ada pemimpin politik negara ‘yang sangat diminati’ menerima bantuan dan sokongan daripada pihak luar terutamanya Amerika Syarikat (AS).
Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd. Salleh Ismail ketika mendedahkan perkara ini berkata, bantuan berkenaan digunakan dalam meneruskan karier politik mereka.
Mohd. Salleh juga tanpa mendedahkan identiti mereka juga memberitahu, selain menerima sokongan kewangan, intipan yang dilakukan mendapati pemimpin politik berkenaan turut melakukan pertemuan dengan individu berpengaruh di luar negara.
Tambah beliau, para pemimpin terbabit ‘sangat diminati’ oleh pihak luar, sekali gus mendapat bantuan fizikal serta sokongan untuk mereka meneruskan kelangsungan politik.
“Kita tahu tindakan-tindakan (pihak daripada luar negara) menjurus kepada memberi bantuan kepada pihak-pihak tertentu (dalam negara). Kita tiada bukti bahawa bantuan itu diserah secara terus, tetapi maklumat yang kita terima, beberapa organisasi di AS, contohnya, ada memainkan peranan.
“Kita dapat maklumat sesetengah pemimpin dalam negara ini, sangat diminati untuk meneruskan kedudukan dan kekuatan mereka dalam politik. Mereka juga diberi sokongan secara moral. Itu memang jelas, melalui tindakan-tindakan (beberapa pemimpin politik) yang sering berjumpa dengan pihak yang berpengaruh di luar negara. Maklumat-maklumat itu kita dapat,” beliau dilaporkan berkata oleh Mingguan Malaysia pada Ahad.
Mohd. Salleh yang memegang jawatan itu pada 2008 lalu berkata, perisikan tentera mempunyai maklumat lengkap mengenai tarikh pertemuan, lokasi serta identiti pemimpin politik yang mengadakan pertemuan dengan pihak asing di beberapa buah negara.
“Sewaktu dia berada di beberapa negara, kita buat pemantauan. Siapa yang dia jumpa dan sebagainya. Tapi kita tak tahu apa yang dibincangkan. Tapi memang ada perjumpaan dengan beberapa orang yang mendapat sokongan secara moralnya dari luar negara,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.