PENYANYI Andi Bernadee atau nama sebenar, Andi Azrul Andi Mapangile, 29, tampil membuat laporan polis semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap rakan baiknya atas dakwaan fitnah dan pecah amanah yang membabitkan kerugian hampir RM70,000.
Menerusi laporan Mstar, difahamkan rakan baiknya itu antara individu yang telah membawa Andi menceburi bidang seni malah mereka juga sudah banyak kali bekerjasama dalam beberapa projek.
“Tidak disangka, insan yang saya percaya dan bawa ke dalam industri seni, malah pernah mengerjakan umrah bersama, sanggup kacau periuk nasi, memalukan dan memfitnah saya kepada syarikat produksi.
“Wang itu hasil titik peluh untuk dua tugasan sepanjang tahun ini. Saya tidak merasa langsung bayaran itu,” katanya.
Andi ditemani pengurus, Nasir Deraman dan peguambela, Faizal Rahman dari Faizal Rahman & Co.
Andi mendakwa menyedari penyelewengan itu selepas bertanya kepada klien mengenai bayaran yang disangka belum diterima.
“Saya mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila bayaran hasil kerja sejak awal tahun ini masih belum diterima.
“Apabila saya rujuk perkara itu kepada klien, mereka beritahu bayaran sudah dijelaskan kepada individu terbabit sebelum Aidilfitri lalu.
“Bertanya kepada rakan saya itu mengenai soal bayaran, dia beri alasan resit hilang dan klien belum melunaskannya, walhal dia songlap duit saya.” dakwa Andi.
Tambah Andi, kawan baiknya juga memanipulasi mesej WhatsApp Andi dan menghantarnya kepada klien hingga mereka percaya lalu membuat transaksi bayaran ke akaun peribadinya.
Sementara itu, Andi turut mengakui dia lama menghilang dari media sosial disebakan berada dalam keadaan serabut memikirkan hal tersebut. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.