Belalang jadi sajian tumpuan ramai di Kelantan

0
593

BELALANG menjadi antara sajian yang mempunyai permintaan tinggi di Kelantan kerana mempunyai peminatnya tersendiri, terutamanya apabila ia digoreng berempah atau disalut kunyit.

Permintaan tinggi terhadap makanan eksotik itu membuka peluang rezeki buat dua beradik Emi Zuhaida Husain, 35, dan adiknya Emi Zuhaika Husain, 25.

“Masih ramai yang tidak pernah menikmati belalang goreng, sebaik sahaja pelanggan jumpa promosi yang kami buat, penggemarnya mengakui makanan ini bukan sahaja eksotik, malah sedap, tetapi terlalu sukar ditemui.

“Ada pelanggan yang membeli untuk mencuba dan ada pula yang menghadiahkan kepada ibu bapa serta keluarga kerana makanan ini pernah menjadi kesukaan ramai suatu ketika dahulu,” katanya menurut laporan Bernama.

Emi Zuhaida yang tinggal di Kok Lanas, Kelantan, itu berkata, belalang goreng sememangnya mendapat tempat di hati penggemar di negeri ini tetapi kini mereka turut mendapat tempahan dari Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Emi Zuhaida juga yang bekerja sebagai jururawat persendirian, berkata perniagaan itu yang dijalankan secara sampingan turut mengimbau kenangan belajar memasak belalang goreng daripada ibu mereka Mek Yah Hamat, 64, ketika mereka masih kecil.

“Belalang yang kami jual ini diperoleh dua hari sekali daripada pembekal yang memprosesnya di Pasir Puteh. Kami biasanya mengambil 15 hingga 20 botol dengan harga RM16 untuk 100 gram.

“Belalang goreng berempah paling mendapat tempat di hati penggemar kerana kelainan rasa rempah, lemak santan, manis, masin dan kerangupan menjadikan ia menu yang paling ‘dirindui’,” ujarnya.

Sementara itu, Emi Zuhaika, seorang suri rumah, berkata ekoran meraih permintaan tinggi mereka kini melaksanakan jualan secara bayaran semasa penghantaran (COD).

“Antara lokasi liputan COD ialah di Kota Bharu, Kubang Kerian, Melor dan Kok Lanas, kebanyakan penggemar belalang goreng teruja sebaik sahaja produk ini sampai ke tangan mereka. Ada juga yang memberi respon ia sangat sedap dan diulang tempahan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here