180,000 dos vaksin Cansino dihantar ke Sabah

SEBANYAK 180,000 dos vaksin jenis CanSino dihantar ke Sabah, hari ini untuk vaksinasi pencegahan Covid-19 khasnya bagi penduduk di kawasan pedalaman.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penghantaran kumpulan kedua vaksin itu diharap dapat mempercepatkan proses vaksinasi kepada kumpulan sasar di negeri berkenaan.

“Vaksin ini hanya memerlukan satu suntikan. Kita berharap ia mempercepatkan dan memudahkan liputan vaksinasi khususnya di kawasan pedalaman dan kumpulan sasar yang dikenal pasti,” katanya menerusi satu hantaran di Twitter, hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rose Nani Mudin melaporkan Sabah menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis CanSino sebanyak 53,000 dos pada selasa lepas.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah terus mempergiat vaksinasi di kawasan pedalaman yang sukar dicapai selain terus membuka pusat pemberian vaksin secara jumpa terus. -SB