MAHKAMAH Sesyen Shah Alam, Selangor, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pemilik syarikat teksi bergelar Datuk kerana gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah.
Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Rozilah Salleh selepas Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh.
“Waran tangkap dikeluarkan bagi memastikan kehadiran tertuduh pada 9 Sept ini,” ujar hakim itu.
Terdahulu, pihak pembelaan yang diwakili peguam bela, Putri Aisyah Zahirah Zakrya, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir hari ini dan prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 dan 8 Ogos lepas kerana dijangkiti COVID-19 pada 3 hingga 11 Ogos lepas.
Katanya, yang tertuduh dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 7 hingga 11 Ogos dan kemudiannya dibenarkan keluar dari hospital berkenaan sebelum dimasukkan pula ke Hospital Prince Court pada 12 hingga 23 Ogos dan memperoleh cuti sakit sehingga 6 Sept ini.
Peguam itu turut memohon maaf kerana kelewatan menyerahkan sijil cuti sakit anak guamnya kepada mahkamah berikutan hanya memperoleh dokumen itu pada petang semalam.
“Saya memohon budi bicara mahkamah untuk mengambil kira keadaan kesihatan anak guam yang turut mendapatkan rawatan bagi penyakit kanser kolon yang dihidapinya,” katanya.
Hakim Rozilah bagaimanapun berkata, mahkamah mengeluarkan waran tangkap kerana prosedurnya kini berbeza dan tertuduh telah dibenarkan pulang dari hospital selain pemberian masa selama dua minggu oleh mahkamah untuk serah diri adalah memadai.
“Tertuduh juga dikehendaki mengemas kini aplikasi MySejahtera (kerana) sijil cuti sakit tidak mencukupi dan (mahkamah) mahukan status kesihatan tertuduh yang terkini,” kata Rozilah. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.