Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Saya boleh menang jika jadi calon: Shafie Apdal -

Saya boleh menang jika jadi calon: Shafie Apdal

PRESIDEN Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal percaya beliau boleh mendapat lebih banyak undi daripada Ahli Parlimen untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri, sekiranya beliau menjadi calon blok pembangkang dan bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap menerusi temubual dalam talian bertajuk “What’s Going on Malaysia?” malam tadi, bekas ketua menteri Sabah itu enggan menjelaskan secara terperinci tetapi percaya dia mempunyai peluang yang baik.

“Ia boleh dilakukan,” katanya ketika ditanya oleh hos yang juga pelawak Harith Iskander mengenai jangkaan keputusan berbeza sekiranya beliau dinamakan sebagai calon pembangkang dan bukannya presiden PKR.

“Terdapat rakan daripada Bersatu, PKR dan Umno juga. Mereka juga rapat dengan saya. Ada juga segelintir dari Sarawak.

“Keadaannya mungkin berbeza, tetapi saya tidak mahu terus memikirkannya.

“Kita mesti bergerak ke hadapan. Inilah caranya untuk memastikan pembangkang dapat bersatu,” katanya memetik laporan FMT.

Pada mulanya, Shafie dan Anwar dinamakan sebagai calon perdana menteri daripada pembangkang.

Bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada siapa yang memperolehi sokongan yang diperlukan dari luar parti blok pembangkang.

Shafie kemudiannya berundur dan berkata partinya akan memberikan sokongan penuh kepada Anwar.

Berdasarkan laporan, Shafie gagal mendapatkan sokongan daripada ahli gabungan kerajaan di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS), untuk mendapatkan undi yang diharapkan.

Dalam cubaan mendapatkan sokongan itu, Shafie berkata beliau telah cuba mendekati rakan di Sarawak tetapi mendakwa ia agak sukar apabila beliau bukanlah satu-satunya calon yang dinamakan.

Shafie berkata, beliau turut merasakan ini adalah masanya seseorang dari Borneo dipilih sebagai perdana menteri.

Katanya, mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak mempunyai kewibawaan dan harus diberi peluang memimpin Malaysia, seperti juga mereka yang berasal dari mana-mana negeri lain.