Shuib kena tunggu lagi nak jumpa Ayash Affan

0
341

BELUM sesuai untuk kongsi gambar Ayash Affan. Itu kata doktor di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) kepada Shuib Sepahtu ketika meminta izin supaya pihak hospital merakam gambar anak bongsunya.

Hasrat pelawak dan pelakon popular untuk melawat bayinya itu buat pertama kali semalam terpaksa ditangguhkan apabila tidak dibenarkan HCTM atas alasan keadaannya yang tidak mengizinkan.

Shuib dalam majlis tahlil dan bacaan Yassin untuk Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raissuddin yang berlangsung secara virtual malam tadi berkata, dia dihubungi oleh Pengarah HCTM semalam memaklumkan perkara itu.

“Sepatutnya hari ini (semalam) saya dapat berjumpa, namun beliau menjelaskan sudah berbincang dengan doktor dan mendapati keadaan di situ berisiko tinggi kerana Covid-19.

“Jadi dia kata untuk lebih selamat, dia cuba tunda lagi perjumpaan ini. Namun, beliau akan cuba dapatkan gambar dan video kerana anak-anak saya, Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Matin, 6, hari-hari bertanya mengenai adik mereka.

“Saya lagilah nak sangat tengok. Apapun saya bersyukur keadaan Ayash Affan stabil. Mereka sudah melakukan dua ujian swab terhadapnya dan keputusannya negatif. Doakan yang terakhir juga (kali ketiga) akan negatif, Insya-Allah,” katanya.

Ditanya berapa lama bayi itu akan berada di hospital, Shuib berkata, semuanya bergantung dengan perkembangan kesihatan Ayash.

Menurut Shuib, berat Ayash kini 1.8 kilogram dan dalam tempoh sebulan dia boleh pulang ke rumah.

“Saya juga berharap sekurang-kurang dapat gambar dan video anak saya esok (hari ini). Pengarah HCTM berkata, dia akan cuba sebaik mungkin. Cuma, buat masa sekarang tidak sesuai untuk mereka mengambil gambar Ayash. Mereka bimbang saya akan sedih melihat keadaannya.

Majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual itu diketuai Ustaz Fakhrul UNIC dan bacaan doa daripada Ustaz Tarmizi Abdul Rahman diikuti tazkirah oleh Ustaz Shahrizan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here