Terima kasih Athiah Ilyana, anak-anak: Azizuhasni Awang

0
441

“PEPATAH ‘Di belakang kejayaan seseorang lelaki itu ada seorang perempuan yang hebat’ adalah benar sama sekali,” kata jaguh lumba basikal negara, Dato’ Azizulhasni Awang.

Menerusi perkongsian di Instagram hari ini, Azizulhasni berterima kasih kepada isterinya, Datin Athiah Ilyana serta anak-anaknya di atas sokongan mereka yang melangkaui segala-galanya.

“Terima kasih kepada isteri Athiah Ilyana dan anak-anak yang dikasihi, Amna Maryam dan Amna Khadeeja, hanya Allah yang mengetahui pengorbanan kalian.

Tambah beliau, kejayaannya selama ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan kehadiran mereka dalam hidup beliau.

Jaguh basikal trek negara itu turut menyatakan penghargaan terhadap ibu bapa serta keluarganya.

“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada ibuku yang disayangi, Selamiah Yong.

“Ma sentiasa memberikan sokongan, menyuruh saya supaya sentiasa berlatih bersungguh-sungguh dan mengejar impian peribadi dan misi negara.

“Terima kasih juga kepada ayah saya, Awang Embong, walaupun juga jarang dapat bersua, tetapi semangat Ayoh sentiasa bersama dengan saya” katanya.

Selepas meraih pingat perak di Olimpik Tokyo 2020 minggu lalu, Azizulhasni mengakui ayahnya sedang mengalami ‘mild stroke’ dan dirawat di hospital, ketika skuad berbasikal negara berangkat ke Jepun.

Walaupun gagal menyekat kemaraan pemenang pingat emas dari Great Britain, pelumba negara ini tetap menghadiahkan kegembiraan buat rakyat Malaysia selepas muncul selaku pelumba kedua terbaik dalam acara keirin.

Pingat perak yang diraih Azizulhasi itu adalah pingat kedua untuk Malaysia di temasya Olimpik Tokyo 2020 selepas kejayaan beregu badminton negara meraih pingat gangsa.

Ia juga pencapaian pingat olimpik kedua buat Azizulhasni dalam empat temasya, selepas meraih pingat gangsa ketika Olimpik Rio 2016, dalam acara yang sama. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here