PELAN Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF PLAN 2021-2025) dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 (DAIRY PLAN 2021-2025) yang dilancarkan hari ini bakal memantapkan lagi industri ruminan negara.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kedua-dua pelan yang dilancarkan hari ini tersebut akan menumpukan pelbagai inisiatif dan insentif bagi membangunkan industri ruminan negara.
Beliau dalam ucapan pelancaran kedua dasar itu menjelaskan, pelan berkenaan mampu membangunkan industri pedaging dan tenusu melalui pendekatan sistem penternakan yang lebih efisien, meningkatkan kapasiti pengeluaran, pengekalan kos pengeluaran yang optimum serta memperkukuh pengurusan di sepanjang rantaian nilai.
Katanya, dengan adanya pelan berkenaan ia dapat meningkatkan sasaran pengeluaran daging dan susu segar tempatan dalam tempoh lima tahun.

“Kita menyasarkan sebanyak 111,000 tan daging dan 20 juta liter susu segar dapat dicapai dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi mencapai sasaran 50 tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran daging dan 100 peratus SSL untuk susu segar menjelang 2025.
“Selain itu, pembangunan lembah tenusu juga akan diteruskan dalam tempoh RMK-12 di beberapa kawasan baharu termasuk di Lembah Tenusu Selatan di Melaka dan Johor, Lembah Tenusu Borneo di Sabah dan Sarawak, dan Lembah Tenusu Pantai Timur iaitu di Kelantan dan Terengganu,” katanya selepas melancarkan BIF PLAN dan DAIRY PLAN bagi 2021-2025 anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) secara maya, hari ini.
Tambah Ronald, beberapa program transformasi berskala besar juga akan dilaksanakan kerajaan, antaranya bantuan bayaran balik (reimbursement) bagi penternak kecil dan geran padanan (matching grant) bagi meningkatkan bilangan populasi induk lembu susu tempatan.
Bagi industri pedaging pula, program seperti Skim Rezeki Ternak, Program Peningkatan Ruminan untuk penternakan integrasi, pembangunan 67 buah ladang satelit di Kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPR) serta Projek Pertanian Moden (PPM) dijangka dapat menjadi pemangkin kepada pengusaha penternakan ruminan yang skala kecil, semi komersil dan komersil.
Ronald berkata, Lembaga Ruminan Negara akan ditubuhkan serta dijangka beroperasi secara berfasa bermula tahun depan.
Jelas beliau, Lembaga Ruminan Negara itu sudah dipersetujui dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara dan ia selari dengan hala tuju kementeriannya dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) bagi industri ruminan.
Dalam pada itu, Ronald berkata, terdapat beberapa isu dan cabaran dihadapi oleh pihaknya dalam membangunkan industri ternakan ruminan negara.
“Antaranya ialah isu baka ternakan yang berkualiti dengan produktiviti yang tinggi serta boleh beradaptasi kepada persekitaran tempatan yang mencabar, selain itu ialah dengan peningkatan kos operasi terutamanya harga makanan ternakan yang tinggi serta kos buruh asing.
“Selain itu cabaran juga berkaitan dengan isu penyakit rentas sempadan seperti penyakit kuku dan mulut (FMD), penyakit kulit kental/berbonjol (LSD), Brucellosis dan Tuberculosis yang mengancam industri ternakan ruminan negara,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai industri ternakan ruminan di negara ini, Ronald berkata ia menyediakan sumber pendapatan menguntungkan dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM15 bilion pada 2019. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.