31 Ahli Parlimen UMNO, BN tetap sokong PN, setuju tentukan keabsahan kerajaan di Parlimen – TPM

0
541

SEBANYAK 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) hari ini menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin .

Selain itu, semua ahli parlimen berkenaan bersetuju keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ditentukan pada persidangan Parlimen September ini.

Pendirian itu dinyatakan dalam satu sidang media yang dihadiri 21 Ahli Parlimen berkenaan, diketuai Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Ismail Sabri berkata, pendirian itu diambil mereka sebagai mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong yang sebelum ini, jelas menyatakan sebarang isu berkaitan kerajaan diselesaikan ketika persidangan Parlimen pada September ini.

“Kami berpandangan, perkara lain adalah perkara yang diluar perkenan Agong..seperti menghantar surat akuan bersumpah (SD), termasuk untuk melakukan tindakan yang boleh meruntuhkan kerajaan sebelum sidang Parlimen diadakan.

“Jika (kita meneruskan) tindakan meruntuhkan kerajaan, kitalah yang sebenarnya menggagalkan hasrat dan titah Agong supaya Parlimen bersidang, dan keabsahan ditentukan di dalam Parlimen,” katanya dalam sidang media khas di ibu negara, hari ini.

Dalam sidang media tersebut, sebanyak 21 Ahli Parlimen dari UMNO dan BN bersama-sama dengan Ismail Sabri, termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam), dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan (Tapah).

Selain itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, terdapat 10 lagi Ahli Parlimen BN yang menyatakan pendirian yang sama, termasuk empat Menteri Persekutuan iaitu Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong), Datuk Seri Reezal Merican Naina (Kepala Batas), dan Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara).

Bagaimanapun beliau berkata, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad (Parit Sulong), yang juga Ketua Wanita UMNO, telah mematikan telefon, dan tidak dapat dihubungi sehingga kini.

Selain itu beliau berkata, pendirian dan sokongan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) juga belum dapat dipastikan biarpun Shamsul telah meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli baru-baru ini.

– SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here