Katil ICU rawat Covid-19 di Pulau Pinang hampir 100 peratus

0
128

PENGGUNAAN katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital-hospital di Pulau Pinang bagi merawat pesakit Covid-19 ketika ini hampir mencecah 100 peratus.

Lebih membimbangkan, penambahan pesakit yang memerlukan rawatan di ICU itu dijangka bertambah dalam minggu-minggu mendatang disebabkan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Pulau Pinang ketika ini.

Semalam, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 867 kes positif Covid-19 iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan di negeri ini.

Setakat ini juga, terdapat lebih 40 kluster aktif Covid-19 dicatatkan di Pulau Pinang dengan majoritinya melibatkan kluster tempat kerja selain peningkatan kes-kes sporadik atau jangkitan di dalam komuniti.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, berikutan tekanan terhadap penggunaan kemudahan di ICU hospital itu, kerajaan negeri memohon tindakan segera diambil Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan negeri.

Ujar beliau, kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan KKM untuk menyusun serta mengubah suai ruang sedia ada di hospital untuk dijadikan ruang rawatan pesakit Covid-19.

Dalam masa sama, beliau berharap Kerajaan Pusat dapat menyelesaikan isu pengagihan bekalan vaksin untuk negeri-negeri supaya program imunisasi yang sedang berjalan tidak terbantut.

“Pada bulan lalu Pulau Pinang menerima bekalan vaksin yang baik sekali gus membolehkan kita memberi suntikan sebanyak 700,000 dos kepada rakyat.

“Tetapi bulan ini, kita dapat maklumat daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang mana mereka telah meminta masa untuk meneliti bekalan vaksin untuk negeri ini,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here