Hubungan PM-Agong istimewa – Annuar

0
244

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

MENTERI Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menyifatkan hubungan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai ‘istimewa.’

Beliau merujuk sikap Muhyiddin yang sentiasa memulakan Mesyuarat Jemaah Menteri dengan menyampaikan titah Agong termasuk teguran, sekali gus menyelar tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa Perdana Menteri sebagai derhaka.

“Minggu ini sahaja, tiga kali Muhyiddin menghadap Tuanku iaitu waktu berlaku kekeliruan pindaan Ordinan Darurat pada 28 Julai, sebelum mesyuarat Kabinet pada 29 Julai dan hari ini (semalam) menghadap lagi.

“Orang yang derhaka, Tuanku tidak benarkan masuk Istana Negara. Yang tahu derhaka atau tidak derhaka itu Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi yang membincangkan tajuk ‘Politik: Apa lagi selepas ini?’

Menyentuh perutusan khas Muhyiddin semalam, Annuar berkata Perdana Menteri mengambil langkah yang tepat dan berani bagi menyelesaikan kemelut politik tanah air.

Katanya jika polemik politik itu dibiarkan berpanjangan, ia akan mengganggu tanggungjawab kerajaan yang sedang bertungkus-lumus berjuang dengan cabaran besar iaitu pandemik COVID-19.

Beliau juga menyifatkan pembentangan usul undi percaya kepada Muhyiddin pada sidang Parlimen bulan depan sebagai profesional dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here