Ahli Parlimen Maran sokong Muhyiddin

AHLI Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib menyatakan sokongan penuh kepada kerajaan Pakatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan daripada UMNO turut menyembah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan akan sentiasa menjaga serta mempertahan institusi Raja-Raja Melayu.

“Patik turut menzahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan Malaysia, sebagaimana sokongan patik kepada Perdana Menteri sebelum ini dan juga kerajaan, tidak lain dan tidak bukan kerana amanah dan tanggungjawab patik kepada agama, bangsa dan negara.

“Patik menjunjung titah perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Justeru sebagai Timbalan Menteri Persekutuan, patik akan terus melaksanakan dan memberi khidmat sehabis baik dengan jujur, bersih, cekap dan amanah demi rakyat, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas, tengah hari tadi menyatakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih utuh dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Perkara itu dimaklumkan beliau kepada Yang di-Pertuan Agong ketika sesi menghadap Seri Paduka, pagi tadi di Istana Negara.