Visa 90 hari hingga setahun untuk pelancong ke Arab Saudi

0
477

PARA pelancong ke dari 49 buah negara ke Arab Saudi kini dibenarkan untuk berada di negara itu selama 90 hari hingga setahun.

Keputusan yang mula berkuat kuasa 1 Ogos lalu dibuat dengan syarat dan peraturan untuk mendapatkan visa pelancong dan memasuki Arab Saudi termasuklah imunisasi penuh dengan vaksin yang diluluskan kerajaan itu.

Menurut laporan Saudi Gazette, kedua-dua syarat berkenaan adalah sebagai tambahan kepada ujian PCR negatif yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas dan pendaftaran di portal Muqeem negara itu.

“Selepas hampir setahun setengah sejak pandemik Covid-19 bermula awal tahun lalu, Arab Saudi membangunkan laman web untuk memudahkan mereka yang ingin mendapatkan visa pelancong melalui portal dalam talian,” kata laporan berkenaan.

Pelancong dan pelawat dari 49 negara termasuk Malaysia, layak untuk memohon e-visa, yang membolehkan mereka menunaikan umrah dan mengikuti pelbagai aktiviti melancong di seluruh negara itu.

Selain Malaysia, warga dari negara berikut layak mendapatkan visa pelancongan: Amerika Syarikat, Kanada, Andorra, Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Belanda, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, Monaco, Montenegro, Norway, Poland, Portugal, Romania, Rusia, San Marino, Slovakia, Slovenia, Ukraine, United Kingdom, Switzerland, San Marino , Sepanyol, Brunei, China (termasuk Hong Kong dan Macau), serta Jepun, Kazakhstan, Singapura, Korea Selatan, Oceania, Australia dan New Zealand.

Terdahulu, Kementerian Pelancongan Arab Saudi mengumumkan, negara itu membuka kembali pintu negara kepada pelancong dan menarik balik sekatan kemasukan bagi pemegang visa pelancong bermula 1 Ogos.

Pelancong yang tiba perlu mendaftarkan maklumat berkaitan dengan dos vaksinasi di https://muqeem.sa/#/vaccine-registration/home, data itu direkodkan dalam aplikasi Tawakkalna dan mesti ditunjukkan semasa memasuki tempat awam.

Sementara itu, Haramain Sharifain, sebuah blog sosial berbahasa Inggeris melaporkan semua pengunjung yang tiba di negara itu mesti memberikan bukti lengkap mengenai satu daripada empat vaksin yang dibenarkan Arab Saudi: dua dos vaksin Oxford/AstraZeneca, Pfizer/BioNTech atau Moderna atau satu dos vaksin dihasilkan Johnson & Johnson.

Mereka yang lengkap dua dos vaksin Sinopharm atau Sinovac akan dibenarkan masuk dengan syarat dos tambahan perlu menggunakan satu daripada empat vaksin lain yang diluluskan Arab Saudi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here